KUALA LUMPUR – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyengitkan pertelingkahan dalaman PKR.

China Press melaporkan, pelbagai petanda dari detik kejayaan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya sehinggalah pemilihan parti menunjukkan PKR sudah berpecah kepada dua, masing-masing berpanjikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga melahirkan kebimbangan bahawa “insiden Latheefa” akan mencetuskan konflik lebih  serius jika isu itu tidak dikendalikan dan dikawal secara baik.

Sumber PKR memberitahu, Anwar sebagai presiden parti telah menunjukkan “reaksi besar” selepas Latheefa yang dilihat sebagai rapat dengan “kem Azmin” dilantik meneraju SPRM.

“Pelantikannya telah mewujud kem sokong dan menentang Latheefa yang menyatakan alasan masing-masing.

“Penentang berpendapat pelantikan Latheefa bertentangan dengan manifesto PH, penyokong pula meminta Latheefa diberi peluang untuk membuktikan kemampuan diri,” kata sumber.

Menurutnya lagi, rata-rata penentang pelantikan Latheefa adalah terdiri daripada anggota “kem Anwar” manakala penyokong pula adalah dari “kem Azmin”.

Dedahnya, masing-masing penyokong Anwar dan Azmin telah meminta supaya mesyuarat biro politik diadakan untuk membincangkan isu itu.

“Pemimpin kedua-dua kem dijangka akan bertarung dalam mesyuarat. Cara Anwar mengawal keadaan akan menjadi sangat mencuri perhatian,” katanya.

Walaupun ada pemimpin PKR mahu Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan pelantikan Latheefa dalam mesyuarat PH, penyokong Mahathir pula berpendapat ia tidak perlu dijalankan kerana “di luar bidang urusan politik PH”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast