SHAH ALAM – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham mengesahkan Haziq Abdul Aziz merupakan Ketua AMK Cabang Santubong ketika ini.
Hilman yang juga Setiausaha Politik, Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, Haziq sepatutnya dipecat lebih awal kerana tindakan yang mengkhianiati perjuangan parti sebelum ini.
Beliau mendedahkan Haziq yang mengaku sebagai individu dalam video intim bersama seorang menteri Kabinet yang didakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini merupakan penyokong Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Bagaimanapun selepas BN tumbang pada PRU14, dia menyertai PKR dan saya pelik bagaimana dia boleh menawarkan diri menjadi calon Ketua AMK Cabang dan memenangi jawatan itu.
“Saya mengaku membawa Haziq ke dalam parti dan kenal sejak zaman beliau menjadi mahasiswa.
“Malah dia pernah cuba merapati dengan memasuki dan bekerja di pejabat Mohamed Azmin namun penglibatannya telah ditolak sehingga dia membuat fitnah jijik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat Menolak Fitnah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amiruddin Sa’ari.
Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia mengaku tidak pernah bertemu Haziq sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan pada Mei lalu.
Sebaliknya kata Hilman, beliau yang mengatur pergerakan Mohamed Azmin di sana tiba pada 10 Mei dan pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.
“Kita lawan habis-habisan fitnah ini dan laporan polis akan dibuat Ibu Pejabat Daerah Putrajaya pukul 10 pagi esok sebelum ke Jakim selepas itu bagi qazaf untuk membersih nama
Mohamed Azmin.
“Kita akan lawan sesiapa yang mahu jatuh dan gugat PKR selepas 20 tahun berjuang hingga mencapai kemenangan dalam PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette