Muhammad Hilman Idham

PUTRAJAYA – Muhammad Hilman Idham mengaku dia ada bertemu dengan Haziq Abdul Aziz, yang membuat pengakuan bersumpah telah bersama seorang lagi individu mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali dalam video intim yang tular sejak awal pagi selasa lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu berkata beliau sudah menyerahkan segala bukti mengenai pertemuan dengan Haziq di Restoran Zest Marriot Putrajaya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Bercakap dalam sidang media selepas membuat laporan di IPD Putrajaya dan Jabatan Agam Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya (Jawi) di Kompleks Islam di sini, Setiausaha Politik Azmin Ali itu mengakui pertemuan itu berlangsung.

“Ya (saya jumpa dia), saya sudah serahkan segala bukti daan maklumat berkaitan pertemuan itu kepada polis untuk siasatan,” katanya ringkas.

Dalam status terbaharu Haziq di laman Facebook, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama itu mendedahkan Hilman telah menemuinya dan meminta supaya membuat penafian tentang video intim tersebut.

Malah dalam kenyataan sama Haziq mendakwa selepas pengakuan bersumpah pagi semalam dia dituduh mempunyai agenda politik oleh Tun Mahathir Mohamad.

“Saya meminta dia (Hilman) sedikit masa untuk berbincang dengan ibu bapa menyebabkan dia marah dengan saya” dakwa Haziq.

Diminta mengulas dakwaan itu, Hilman tanpa mengulas atau berterus terang terhadap soalan wartawan berkata :”Saya sudah serahkan semua kepada pihak polis sebab itu kita buat laporan Qazaf”.

Hilman juga tidak menjawab sama ada polis menyatakan semasa aduan bahawa akan merakam keterangan Azmin atau tidak.

Ditanya mengenai status dan kedudukan Haziq sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubung, Hilman menyerahkan kepada Setiausaha Agung PKR menentukan nasibnya, sambil mengesahkan laporan polis pagi tadi diterima oleh Bahagian Siastan Jenayah.- MalysiaGazette

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/13/pertemuan-di-sandakan-bukan-pertama-kali-dakwa-haziq-abdullah/