Narendra Modi

NEW DELHI – Pesawat Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak akan menggunakan ruang udara Pakistan ketika menuju ke Bishkek, Kyrgyzstan yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), kata menteri luar.

“Kerajaan India telah mengkaji dua pilihan untuk laluan yang akan diambil pesawat VVIP ke Bishkek.

“Keputusan yang diambil ialah pesawat VVIP itu akan terbang melalui Oman, Iran dan negara-negara Asia Tengah dalam perjalanan ke Bishkek,” kata seorang jurucakap mengulas soalan laluan yang akan diambil Perdana Menteri India itu.

Terdahulu Pakistan ‘secara prinsip’ meluluskan permintaan India membenarkan pesawat Modi terbang di ruang udaranya untuk Ke Bishkek bagi menghadiri sidang kemuncak SCO pada minggu ini, lapor India Today.

Pegawai Pakistan mengesahkan kerajaan Imran Khan ‘secara prinsip telah meluluskan permintaan kerajaan India untuk membenarkan pesawat Modi terbang di ruang udara Pakistan ke Bishkek’.

Pada 26 Februari lalu, Pakistan menutup ruang udaranya selepas serangan tentera udara India ke atas kem pengganas, Jaish-e-Mohammed (JeM), di Balakot.

Sejak itu, negara tersebut hanya membuka dua daripada 11 laluan yang mana kedua-duanya merentasi selatan Pakistan.

Pada 21 Mei lalu Pakistan telah memberi kebenaran khas kepada India apabila Menteri Luarnya, Sushma Swaraj, terbang menggunakan ruang udara negara itu untuk menghadiri mesyuarat SCO peringkat menteri di Bishkek.

Selain daripada dua laluan yang dibuka di selatan Pakistan, ruang udara negara jirannya kekal ditutup untuk pesawat komersial. – Agensi