Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Kes penyebaran gambar dan video lucah membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Haziq Abdul Aziz turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau mengaku hatinya gusar kerana terfikirkan 1001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ini dek sebaran video berkenaan.

Lantaran itu, beliau berkongsikan empat artikel bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah berhubung isu tersebut.

“Memetik kata YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dato’ Seri Mujahid Yusuf Rawa, “Apa yang lebih membimbangkan ialah masyarakat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat. Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam.”

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi.

“Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berhubung isu ini. Semoga manfaat untuk semua,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Artikel tersebut ialah:

1. Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap A’isyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa
http://bit.ly/hadithifk

2. Bahaya Fitnah
http://bit.ly/bfitnah

3. Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?
http://bit.ly/qazafliwat

4. Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita
http://bit.ly/tabayyunberita

Malah, beliau menyeru kepada semua supaya sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan kita pasti akan diperhitungkan satu persatu oleh Allah SWT.

“Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu.

“Kepada YB Dato’ Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifli Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-‘Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Sami’) dan Maha Adil (al-Adl),” katanya. – MalaysiaGazette