KUALA LUMPUR- Eco World Development Group Bhd. (EWDG) dan PowerChina Group Ltd dari China berhasrat untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan membangunkan projek-projek infrastuktur berkaitan tenaga di negara ini pada masa akan datang;
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, PowerChina mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang tenaga terutamanya tenaga hijau.
EWDG pula akan memberikan sokongan dari segi menyediakan kepakaran tempatan dan maklumat mengenai kehendak rakyat Malaysia berhubung sektor tenaga.
“PowerChina sangat hebat dalam bidang teknologi hijau.
“Mereka mempunyai teknologi terkini dan bukan sekadar infrastruktur biasa,” katanya semasa sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian usahasama pembelian tanah dengan PowerChina di sini hari ini.
Majlis disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Dalam pada itu EDWG dan PowerChina akan membangunkan sebuah kawasan perindustrian di Puncak Alam, Selangor, Eco Business Park V dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM850 juta.
Menurut Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin, kerjasama dengan PowerChina adalah permulaan kepada usahasama yang lebih besar pada masa akan datang.
Katanya, Eco Business Park V akan menjadi hab strategik bagi pengilang-pengilang dari China yang berhasrat untuk berpindah ke Asia Tenggara.
“Semakin ramai pelabur asing datang ke kawasan perindustrian berteknologi tinggi ini, semakin banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi boleh ditawarkan kepada orang Selangor,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
Perjanjian berkenaan menyaksikan PowerChina membeli 117.35 ekar tanah perindustrian daripada Paragon Pinnacle Sdn. Bhd. pada harga RM240.2 juta.
Paragon Pinnacle dimiliki bersama dengan nisbah 60:40 oleh Ecoworld dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.- MalaysiaGazette