Noor Kamarul Anuar Nuruddin

KUALA LUMPUR – Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin dilantik sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) / Pengarah Eksekutif (ED) Telekom Malaysia yang baharu berkuatkuasa semalam.

Noor Kamarul, 60, berpengalaman luas selama 34 tahun dalam menguruskan rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia serta Indonesia, dengan memfokus kepada Perkhidmatan-perkhidmatan Rangkaian Tetap, Rangkaian Mudah Alih dan Jalur Lebar Mudah
Alih. Beliau telah menerajui strategi, perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek daripada rangkaian kawasan baharu, 3G, 4G hinggalah penggabungan rangkaian selular.

Beliau pernah menjadi sebahagian daripada barisan pengurusan kanan Celcom Axiata Berhad (Celcom) yang memacu peningkatan prestasi Celcom dengan mencatatkan pertumbuhan selama 31 suku tahun berturut-turut dari 2003 sehingga Mac 2018.

Noor Kamarul menyertai Celcom (Malaysia) Berhad pada tahun 2003 sebagai Ketua Pegawai Teknologi yang bertanggungjawab terhadap Pelan Strategik Rangkaian Celcom.

Pada tahun 2010, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pegawai Teknologi Maklumat & Transformasi yang
bertanggungjawab membangunkan pelan transformasi infrastruktur IT, penambahbaikan proses dan pengebilan, rasionalisasi dan optimisasi sebelum ditugaskan sebagai Ketua Pegawai Usahasama Pengendali yang berperanan menguruskan usahasama-usahasama syarikat selular (celco) dengan Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) Domestik, syarikat telekomunikasi (telco) dan celco, penyedia selular asing serta syarikat pengendali antarabangsa bagi perkhidmatan perayauan dan trafik.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelanggan dan Program bagi mempertingkatkan pengalaman
pelanggan di setiap saluran interaksi pelanggan sebelum ditugaskan sebagai Ketua Pegawai Projek Khas yang berperanan meneroka projek-projek baharu dan mewujudkan pembuktian konsep. – MalaysiaGazette