Erra Fazira.

KUALA LUMPUR – Aktres popular, Erra Fazira tampil memohon maaf kepada pelakon yang juga kawan baiknya, Datin Seri Umie Aida susulan isu perselisihan faham antara mereka yang timbul sejak beberapa hari lalu.

Wanita berusia 45 tahun itu membuat permohonan maaf menerusi laman sosial Instagram miliknya sebentar tadi.

Pada masa sama, Erra memohon agar perbalahan antara mereka selesai dan tidak berlarutan lagi.

“Kepada semua, saya mohon maaf atas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Umie.

“Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya mengecewakannya lagi buat kali ketiga. Umie memendam perasaan dan pernah menghantar mesej secara peribadi dengan baik,” tulisnya merendah diri.

Erra juga berharap pengakuannya itu dapat menghentikan perbalahan semua pihak termasuk di kalangan netizen.

Ibu tunggal itu menambah, apa yang berlaku itu memberi pengajaran besar dan membuka ruang untuk dia memperbaiki kesilapan diri pada masa akan datang.

“Umie jika tiada bukti, tidak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini dapat menghentikan semua perbalahan. Saya belajar daripada kesilapan dan akan memperbaiki kekurangan diri.

“Ternyata saya banyak kekurangan dan harus terus baiki diri. Saya mohon maaf sekali lagi pada semua, termasuk Umie,” kata pelakon filem Polis Evo 2 itu.

Spekulasi perang dingin antara dua nama popular itu timbul apabila Umie memuat naik luahan hatinya di laman sosial yang mendakwa, dikhianati sahabat baiknya sendiri.

Walaupun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan, pelbagai pihak membuat tanggapan ia ditujukan kepada Erra terutama apabila masing-masing tidak lagi mengikut antara satu sama lain di laman sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast