Pelakon Komedi, Abam Bocey memperagakan busana di karpet merah pada Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-31 (ABPBH31) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pelawak Abam, 31, bergelar bapa apabila isterinya, Siti Norhidayah Mohd Ali, 28, selamat melahirkan anak lelaki di Hospital Selayang di sini hari ini.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan berkongsi berita gembira menyambut cahaya mata sulung di Instagramnya, sebentar tadi.

“Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak lelaki. Allahuakbar… Allahuakbar!!! Terima kasih (kepada mereka) yang sudi mendoakan keselamatan isteri dan anak saya,” tulisnya.

Abam turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan sebahagian wajah si kecil.

Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2015 juga merakamkan penghargaan terhadap doktor dan jururawat yang menjaga isterinya dengan baik.

Abam bernikah dengan Siti Norhidayah pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor. – MalaysiaGazette