Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berucap pada Seminar On Government Insight Series 2018 bertajuk Pengasingan Kuasa Dimana Garisan Neutraliti Penjawat Awam di Auditorium Intan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2018
Tun Zaki Azmi

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi membidas kecenderungan sesetengah peguam pembela yang meminta penangguhan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Beliau menyeru para hakim agar bersikap lebih selektif sebelum membenarkan amalan itu.

Dalam temu bual dengan Bernama, Zaki juga menyarankan Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi membuat ketetapan bahawa sesuatu perbicaraan yang sedang berjalan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana permohonan interlokutori oleh peguam.

Beliau berkata, taktik yang digunakan oleh peguam berkenaan selalunya dalam bentuk memfailkan pelbagai aplikasi interlokutori, tanpa mengira sama ada permohonan itu akan didengar atau tidak dan kemungkinan berjaya atau sebaliknya.

Sekiranya permohonan tersebut dibicarakan dan keputusan yang dibuat tidak menyebelahi mereka, mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, yang menyebabkan kes ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

“Para hakim tidak harus membenarkan peguam memainkan taktik penangguhan dengan membuat permohonan yang tidak sihat itu dan sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, rayuan akan dikemukakan terhadap keputusan itu. Kelewatan ini ditambah oleh Mahkamah Rayuan yang mengambil masa untuk mendengar dan memutuskan, kata Ketua Hakim yang bersara itu.

Zaki berkata, sepanjang menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun dari 2008, beliau sangat tegas terhadap penangguhan sedemikian.

“Jika anda imbas kembali ke masa ketika saya menjadi Ketua Hakim Negara, terdapat kes-kes yang tertangguh selama 20 tahun. Statistik menunjukkan bahawa di Mahkamah Tinggi, pada tahun pertama saya mengambil alih, terdapat 44,000 kes dan dalam tahun 2009, saya mengurangkan angka itu kepada hanya 9,000. Ini bermakna satu perempat dalam satu tahun, “katanya.

“Bagaimana kita melakukannya Ianya sejarah, tetapi yang paling penting adalah tiada penangguhan,” tegas Zaki, yang merupakan seorang peguam yang menjalankan khidmat sebelum dilantik secara langsung sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada bulan September 2007, pelantikan secara langsung yang pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman Malaysia.

Zaki berkata, pada mulanya para peguam mencipta slogan seperti “Justice hurried is justice buried” (keadilan yang tergesa-gesa menguburkan keadilan) tetapi kemudian apabila mereka mendapat manfaat dari segi kewangan kerana lebih banyak kes yang mereka lupuskan lebih banyak pendapatan, mereka menerimanya sungguhpun ada sesetengah yang melakukannya atas kehendak pelanggan mereka sendiri.

Zaki, 73, juga mendedahkan bahawa terdapat peguam yang ‘pakar dalam taktik penangguhan’ ini.

“Ketika saya dalam amalan swasta sebelum ini, apabila pelanggan datang kepada saya untuk meminta menangguhkan kes mereka akan berkata … jangan bimbang, kami mahu membayar yurannya, boleh awak tangguhkan untuk saya

“Jawapan saya kepada mereka, saya tidak buat kerja seperti itu. Awak mahu tangguh, pergi jumpa peguam yang pakar dalam perkara itu,” tambah beliau.

Berkongsi pengalaman luasnya dalam profesion undang-undang, Zaki berkata, proses keadilan biasanya akan tertangguh apabila terdapat permohonan interlokutori.

“Justeru, kes utama tidak dapat diteruskan. Jadi dalam beberapa keadaan, hakim tetap mengendalikan kes berkenaan sementara menunggu pelupusan permohonan. Hujahnya ialah jika saya menang permohonan interim ini, anda tidak perlu buang masa mendengar kes ini.”

“Apakah akibat kelewatan itu Sekarang, apabila kita bercakap mengenai keadilan .. keadilan bermakna pelupusan cepat,” katanya, sambil menambah bahawa dalam senario ini keadilan tertangguh keadilan dinafikan.

Sebagai contoh, kata Zaki terdapat kes rogol yang dikesan di Sungai Petani, Kedah, di mana prosidingnya mengambil masa sembilan tahun untuk selesai.

“Bayangkan mangsa dan saksi harus datang ke mahkamah berulang kali. Orang selalu bercakap mengenai keadilan kepada tertuduh. Ramai yang melupakan keadilan terhadap mangsa. Keadilan terhadap mangsa adalah untuk mendapatkan orang yang dituduh dihukum dengan cepat, tetapi jika anda terus menunda seperti ini, kes tidak dapat bergerak, “tegasnya.

Untuk kes diteruskan seperti yang dijadualkan, Zaki berkata, hakim harus tegas dan cukup tegas untuk tidak menunda atau menangguhkan pendengaran kes sementara permohonan interim sedang didengar.

“Apa yang penting ialah hakim mesti berpendirian tegas dan cukup kuat untuk mengatakan bahawa jika anda ingin memohon interlokutori, atau anda ingin merayu terhadap perintah interlokutori saya, itu adalah hak anda, tetapi saya masih akan meneruskan dengan kes utama. Jika anda berjaya dalam rayuan anda dan saya salah, saya akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya.

Dalam hal ini ini, Zaki berkata, beliau mempunyai pengalaman terhadap taktik penangguhan oleh peguam di mana apabila mahkamah ingin mendengar kes itu, peguam itu mendakwa dia tiada kelapangan setiap pagi dari Isnin hingga Jumaat.

“Dia berkata Isnin tidak boleh .. Selasa tidak boleh .. Rabu tidak boleh .. dan saya katakan hari Jumaat petang saya jumpa awak. Saya berjaya menyelesaikan kes itu dan dia memenangi kes itu, “katanya.

Beliau menambah, bagaimanapun, adalah menjadi hak tertuduh atau plaintif untuk memfailkan permohonan berkenaan dan pihak mahkamah tidak boleh menghalang mana-mana pihak memfailkan permohonan jika mereka mahu berbuat demikian.

“Ianya terserah kepada hakim untuk membuat keputusan. In soal budi bicara mahkamah”.

“Kes tidak boleh ditangguhkan oleh permohonan interlokutori. Ketika interlokutori didengar, kes utama harus berjalan,” kata Zaki , anak kepada bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Azmi Mohamed.

Apabila Zaki dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, ini adalah kali pertama dalam sejarah dunia bahawa seorang bapa dan anak telah mengetuai kehakiman negara.

Tun Azmi Mohamed merupakan Ketua Hakim Negara ( sebelum itu digelar Presiden Mahkamah Persekutuan) dari 1968 hingga 1974. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast