Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq didakwa terburu-buru apabila terburu-buru membuat kenyataan tidak matang dengan mengatakan tarbiah Islam Pas telah gagal adalah sangat jauh tersasar.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (IKatan) menggesa Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu supaya
meluangkan masa untuk mendengar teks ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara keseluruhan.

Atau setidak-tidaknya Setiausaha Akhbar Menteri membuat “homework” sebelum membuat ulasan yang dangkal sebegini.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, ucapan Presiden PAS dimulakan dengan sejarah Islam memimpin dunia selama berdekad-dekad, yang mana golongan yang bukan Islam mengkaji dan mendalami Islam sebenar untuk menerima Islam.

Islam memerintah bukan secara paksaan, tetapi rakyat bukan Islam mengkaji Islam sehingga golongan intelektual bukan Islam menerima Islam apabila melihat kebaikan Islam itu sendiri dalam konteks kehidupan, terutama pentadbiran yang adil dan saksama kepada rakyat.

Mengambil contoh tersebut, katanya, Abdul Hadi Guru menggesa anak-anak muda supaya mendalami isu-isu politik secara keseluruhan, bukannya terikut-ikut dengan sebaran media sosial yang kebenarannya kadang-kadang diragui.

Bahkan, jelas menunjukkan anak muda yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU-14 telah ditipu secara terang-terang, terutama oleh pimpinan Pemuda Pakatan Harapan.

Menurutnya, Pakatan Harapan menabur pelbagai janji kepada anak muda pada PRU-14 dan sehingga hari ini, tiada satu pun janji kepada anak muda tertunai.

Berdasarkan Buku Pakatan Harapan melalui 10 janji 100 hari mereka, Janji ke-6 (rujuk muka surat 12) adalah khusus untuk anak-anak muda peminjam PTPTN.

Janji tersebut berbunyi, “Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam”.

Pemimpin-pemimpin muda Pakatan Harapan, termasuklah Syed Saddiq, telah berjanji di dalam Buku Pakatan Harapan (rujuk muka surat 189) melalui Iltizam Khusus Anak Muda, Iltizam #4, “Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma” dengan “Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi”.

Seawal memegang tampuk pemerintahan, berikut adalah susur galur kisah dongeng PTPTN Pakatan Harapan:

a. Pusingan-U pertama dibuat mengenai Iltizam anak muda di mana “Manifesto bukan kitab suci” apabila gagal memberikan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan. Najib dan pentadbiran terdahulu disalahkan.
b. Pusingan-U kedua dibuat apabila kajian mahu dilaksanakan berkenaan janji mereka iaitu gaji minimum RM 4000 bagi pembayaran balik PTPTN.
c. Pusingan-U ketiga dibuat apabila peminjam dikeluarkan dari senarai hitam, tetapi berdepan risiko bankrap atau muflis jika tidak membuat pembayaran balik.
d. Pusingan-U keempat dibuat apabila skema pemotongan gaji melalui peratusan yang tidak adil dan munasabah untuk anak-anak muda.
e. Pusingan-U kelima dibuat apabila mereka mahu menyenaraihitamkan semula peminjam supaya tidak ke luar negara. Ditambah pula dengan peraturan zalim untuk
mengenakan sekatan ke atas pasport, lesen memandu, dan memperbaharui cukai jalan.

“Ini baru satu ulasan mengenai janji PTPTN kepada anak muda. Pelbagai janji lain yang masih tidak tertunai seperti 1 juta peluang pekerjaan, RM 1 billion dana untuk usahawan muda, siaran percuma bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), dan macam-macam lagi.

“Sememangnya anak muda tertipu pada PRU-14 kerana tidak mendalami politik tanah air,” tegasnya.

Oleh itu, Ikatan menggesa seluruh anak muda untuk sama-sama bangkit dan mempelajari senario politik Malaysia agar kita tidak ditipu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast