Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima 17 laporan polis berkaitan video yang tular sejak minggu lalu mengaitkan individu mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Daripada laporan itu, sebanyak 21 rakaman keterangan telah diambil oleh Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang mengendalikan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya sedar akan komen-komen dan reaksi masyarakat umum rentetan penularan video skandal yang mengaitkan Timbalan Presiden PKR itu bersama Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Katanya, Pasukan Khas JSJ dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama mengendalikan siasatan itu.

“Setakat ini kita tidak dapatkan bantuan pakar forensik asing untuk menyiasat kesahihan video berkenaan dan kita masih menunggu hasil laporan forensik tempatan.

“Saya tahu ramai komen dan meluahkan reaksi sambil menunggu tindakan polis mengenai skandal video semburit itu dan kita (polis) juga mahu mempercepatkan kes berkenaan,

“Maka percayalah kita akan melakukan siasatan terbaik dan pasukan khas yang bertanggungjawab mengambil tindakan terbaik dalam perkara ini,” katanya pada sidang media majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ Komersial Bukit Aman serta pemakaikan pangkat untuk Datuk Zakaria Ahmad yang dilantik menjawat jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Pada majlis itu, Timbalan Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang memangku jawatan tersebut menyerahkan tongkat kuasa kepada Zakaria yang merupakan bekas Ketua Polis Pahang.

Pada yang berlangsung di Mess Pegawai Kanan, seramai 52 orang pegawai kanan dan anggota PDRM dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).

Tambah beliau, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk siasatan video dan keseluruhan kes ini.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak sanggup untuk menghebahkan siasatan dalam media khususnya melibatkan strategi dan kaedah pengendalian kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast