Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook

BATU PAHAT – Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti Batu Pahat sebagai daerah yang mencatat kadar kematian tertinggi akibat kemalangan di negara ini semenjak tahun 2016.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi tahun berkenaan (2016), sebanyak 207 kematian dicatatkan.

Bagaimanapun, kadar kematian akibat kemalangan menurun 20 peratus kepada 165 kematian sebaik Program My Safe Road dilaksanakan pada tahun 2017.

Walau bagaimanapun, pada tahun lepas jumlah kematian meningkat lapan peratus kepada 178 orang.

Pada suku pertama tahun ini sahaja, 44 nyawa terkorban di daerah itu, kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat Program My Safe Road, di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Loke berkata, bagi kemalangan di seluruh negara, usia mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah sekitar 15 hingga 25 tahun dengan kebanyakan daripada mereka adalah penunggang motosikal.

Oleh yang demikian, pihaknya merangka pelbagai program dalam usaha mengurangkan kadar kematian dengan antaranya memperkasakan Program My Safe Road ini, yang akan difokuskan di beberapa lokasi ‘panas’ yang mencatat kematian tertinggi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Datuk Suret Singh dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly.

Selain itu, pihak kementerian turut berhasrat mengadakan beberapa program advokasi di sekolah serta pusat pengajian tinggi kerana kadar kematian juga ada melibatkan penuntut universiti.

Berkenaan dengan laluan persekutuan FT50, iaitu Jalan Kluang, di sini yang merupakan laluan yang mencatatkan kematian tertinggi di negara ini, pihak kementerian menganggarkan kos RM300 juta untuk menaik taraf laluan ini agar kadar kematian dapat dikurangkan

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk tujuan projek naik taraf ini dengan membina pembahagi jalan dan pusingan U sepanjang 17 kilometer, di mana ia merupakan lokasi hotspot kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kami juga merancang akan memperbanyakkan rumble strips (jalur bergetar) di lokasi tertentu agar pengguna jalan raya dapat memperlahankan kenderaan masing-masing, sekali gus menyedari lokasi yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan,” katanya. – Bernama