Pengurus Desa Murni Batek, Bibi Ramjani Ilias Khan mencipta sejarah di Kelantan apabila seorang wanita dipilih untuk menerajui persatuan bola sepak negeri.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan akhirnya meletak jawatan selepas hampir dua tahun menerajui persatuan itu.

Keputusan tersebut diumumkan wanita itu yang juga Pengurus Desa Murni Batek menerusi satu posting di Facebooknya.

“Saya Bibi Ramjani Ilias Khan selaku Presiden Kafa dengan ini melepaskan jawatan saya. Semoga Kafa maju jaya di bawah pengurusan baru,” katanya.

Bibi Ramjani turut mengucapkan berterima kasih dan memohon maaf kepada penyokong Kelantan sepanjang tempoh beliau menerajui persatuan itu.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah putus untuk menyokong Kelantan FA. Mohon maaf dari saya kepada semua sepanjang saya memimpin Kafa,” katanya.

Sebelum ini, Bibi Ramjani memberitahu sedia meletak jawatan bagi memberikan laluan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz yang tampil menawarkan diri menyahut cabaran presiden wanita itu sebelum ini.

Jelasnya, beliau berjumpa dengan ahli perniagaan itu bagi membincangkan beberapa perkara berhubung persatuan terbabit.

“Alhamdullillah syukur ada yang berminat untuk menerajui KAFA, dan saya sudah berjumpa dan berbincang, namun kalau berbincang tanpa masukkan dana, takut pisang berbuah dua kali.

“Masa berbincang saya sudah beritahu berhubung masalah kewangan dihadapi KAFA, apa yang penting sekarang dana perlu ada sebelum terajui persatuan, kena korban sikit bila mahu jadi pemimpin terutamanya dalam bola sepak,” katanya.

Pada April lalu akhbar melaporkan ahli perniagaan itu berani tampil menyahut cabaran Bibi Ramjani, yang sedia melepaskan jawatan sekiranya ada individu berkemampuan dari segi kewangan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan persatuan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast