Mohamed Morsi
Mohamed Morsi

KAHERAH – Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dikebumikan di timur Kaherah, kata anak lelakinya.

Morsi jatuh dalam mahkamah semalam dan meninggal dunia sejurus selepas itu.

Allahyarham dikebumikan pada waktu subuh di samping pemimpin Ikhwan Muslimun kata anak lelakinya, Ahmed Morsi dalam akaun Facebook seperti dipetik AlJazeera.

Pengkebumian di daerah Madinat Nasr, Kaherah itu dihadiri ahli keluarga selepas pihak berkuasa enggan membenarkan pengkebumian dilakukan di tempat kelahiran Morsi di daerah Sharqiya di lembah Nil, kata Ahmed Morsi.

“Kami mandikan jenazah di hospital penjara Tora, solat jenazah di masjid penjara, pengkebumian dilakukan di tanah perkuburan untuk pemimpin Ikhwan Muslimun,” tulis Ahmed.

Peguam Morsi, Abdel Moneim Abdel Maksoud mengesahkan pengkebumian dilakukan di tanah perkuburan Al-Wafaa wa al-Amal pada awal hari ini.

Morsi yang merupakan pemimpin Ikhwan Muslimun, menjadi presiden dipilih secara demokrasi pertama Mesir pada 2012, setahun selepas kebangkitan Arab Springs yang menyaksikan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun berakhir.

Beliau digulingkan pada Julai 2013 berikutan bantahan secara besar-besaran dan rampasan kuasa tentera yang diketuai presiden ketika ini, Abdel Fattah el-Sisi yang menyaksikan Morsi ditahan serta merta. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast