Bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Haziq Abdul Aziz berjalan keluar selepas dibebaskan dengan jaminan polis hari ini di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Haziq Abdullah Abdul Aziz mempertahankan bahawa dia adalah mangsa dalam video intim membabitkan dirinya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Semua orang lupa bahawa saya mangsa juga kerana seseorang telah merakam dan membocorkan apa yang sepatutnya menjadi detik peribadi,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The Sun.

Bagaimanapun Haziq, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, memuji polis kerana profesionalisme mereka semasa dia ditahan.

“Mereka melayan saya dengan baik. Polis yang ditugaskan mengawas saya sangat profesional dan mereka bertindak neutral,” katanya.

Haziq, yang telah digantung tugas telah ditangkap, ditahan dan reman pada Jumaat lepas selepas membuat pengakuan bahawa dialah individu yang berada dalam video berkenaan.

Dia juga mendakwa Azmin adalah lelaki yang bersamanya.

Ditanya sama ada dia telah mendedahkan kepada polis siapa yang menjadi dalang kejadian itu, Haziq berkata, dia tidak tahu siapa yang bertanggungjawab dan sebenarnya dia adalah mangsa keadaan.

Beliau berkata, kejadian itu juga menyebabkan keluarganya lebih rapat dan mereka sangat menyokongnya.

“Mereka (ibu bapanya dan adik-beradik) tahu saya memerlukan semua sokongan yang boleh mereka berikan sekarang.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk sembuh tetapi saya selalu bersama keluarga saya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast