Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berucap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Kadar kemalangan maut yang dicatatkan sepanjang Op Selamat 15 menurun sebanyak 1.3 peratus berbanding Op Selamat 13 pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, jumlah yang dicatatkan ialah 232 kes berbanding 235 kes sebelum ini.

“Namun kadar kemalangan meningkat daripada 22,441 pada Op Selamat 13 kepada 22,461 pada operasi kali ini.

“Jumlah paling tinggi kes kemalangan kekal melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan jumlah sebanyak 158 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Mazlan, jumlah saman yang dicatatkan untuk Op Selamat 15 sebanyak 350,537 saman berbanding Op Selamat 13 sebanyak 343,863 saman.

Jelasnya, jumlah bayaran saman yang dikeluarkan sepanjang Op 15 adalah RM22,000 sehari berbanding RM17,000 pada hari biasa.

“Sikap tidak berhati-hati pemandu kenderaan dan penunggang motosikal menjadikan punca kemalangan sepanjang Op Selamat 15 sebanyak 10,271 kes iaitu 27 peratus.

“Faktor terbabas sendiri merupakan punca utama kemalangan maut dengan 92 kes,” katanya.

Op Selamat 15 bermula 29 Mei lalu dan berakhir 13 Jun lalu. – MalaysiaGazette