Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – SRC International Sdn Bhd tidak akan mendapat jaminan kerajaan untuk membuat pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadanankan (KWAP) tanpa kelulusan Datuk Seri Najib Razak, bekas perdana menteri, yang juga merangkap menteri kewangan ketika itu.

Meskipun berdasarkan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 menetapkan penyekatan terhadap pinjaman kedua sekiranya pinjaman terdahulu belum dilunaskan namun, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz berkata, kelulusan itu masih boleh berlaku dengan kelulusan menteri kewangan.

“Ia boleh diberikan pengecualian dengan kelulusan menteri, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Walau bagaimanapun, Afidah yang selepas itu disoal peguam bela Najib iaitu Harvinderjit Singh, bersetuju dengan pandangan bahawa ketua setiausaha perbendaharaan (KSP) mempunyai kuasa menolak atau menerima suatu permohonan pinjaman sebelum diajukan kepada menteri kewangan seterusnya dibentangkan menjadi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) sekiranya diterima.

SRC International Sdn Bhd
Saksi ke-41 perbicaraan SRC International Sdn Bhd, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz.

“Betul. (Kalau KSP tidak luluskan, tidak boleh sampai ke tangan menteri (Menteri Kewangan kan?), Betul,” ujarnya yang turut bersetuju proses ini terpakai untuk bukan kepada pinjaman pertama, malah seterusnya.

Terdahulu Afidah mendedahkan bahawa kerajaan selaku penjamin telah memberikan tiga pinjaman melibatkan jutaan ringgit untuk membantu SRC International membayar hutangnya kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Kerajaan telah menyediakan pinjaman sebanyak RM92 juta (untuk SRC International) pada tahun 2015, dan RM250 juta  pada tahun 2016.

“Walaupun begitu, Kementerian Kewangan bersedia memberikan geran pinjaman sebanyak RM300 juta kepada SRC International untuk membantu membayar balik pinjaman kepada KWAP supaya KWAP tidak mengisytiharkan ‘event of default’ (gagal dalam perjanjian pinjaman),”ujarnya.

Afidah selain itu menerusi pernyataannya sebagai saksi perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Najib turut mengatakan bahawa kerajaan masih menanggung hutang syarikat itu terhadap Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Beliau mengesahkan perkara itu yang diketahuinya yang setakat Mei 2019 dengan hutang berjumlah RM4.15 bilion.

Menurutnya lagi kerajaan selaku penjamin keseluruhan pinjaman perlu bertanggungjawab untuk membayar semua jumlah pembiayaan yang diperoleh SRC.

“Dalam pengetahuan saya, SRC tidak membuat pembayaran balik kepada Kementerian Kewangan selain tiada bayaran lanjutan bagi hutang kepada KWAP,” katanya.

Malah menurutnya lagi, SRC pada dua tahun lalu sekali lagi memohon secara terus kepada kerajaan pinjaman sebanyak RM300 juta bagi menjelaskan bayaran keuntungan dan bayaran pokok pinjaman dengan KWAP.

“Pada masa itu, jumlah hutang SRC kepada kerajaan telah mencapai jumlah RM306, 684,715.40. Kerajaan telah pun sebelum ini memberikan pinjaman kepada SRC sebanyak RM92 juta pada tahun 2015 dan seterusnya RM213 juta pada 2016,” tambahnya. -MalaysiaGazette