Erra Fazira. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Aktres, Erra Fazira menyifatkan apa yang berlaku melibatkan kontroversi dirinya dan rakan pelakon, Datin Umie Aida sebagai titik hitam dalam hidupnya.

Sambil enggan mengulas lanjut, Erra, 45, berharap mendapat pengajaran berguna daripada apa yang terjadi.

“Saya ambil apa yang berlaku sebagai titik hitam dalam hidup saya dan doakan perjalanan hidup saya lepas ini diredai-Nya.

“Saya juga mahu bergerak ke hadapan dengan baik dan positif serta tenang. Saya harap pihak media dapat beri kerjasama agar kita tutup buku dan buka buku baharu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada media program Mingguan Wanita terbitan Astro di sini hari ini.

Ditanya perasaannya ketika ini, ibu tunggal itu berkata, sama ada berduka atau tidak, dia ada tempat mengadu kepada-Nya.

Diasak dengan soalan mengenai kehidupan tanpa rakan-rakan, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik mengakui dia tidak keseorangan ketika ini.

“Kehidupan saya hari ini alhamdulillah dan tidak keseorangan.

“Saya banyak sangat belajar untuk menjadi manusia lebih baik pada masa akan datang.

“Kepada peminat, jangan ada team pula dan benda baik kita ikut manakala tidak baik jangan ikut,” katanya yang sentiasa tenang dan ceria.

Kontroversi Erra dan Umie bermula apabila bintan filem Dukun itu mendedahkan di laman sosial dirinya didakwa dikhianati teman karib sendiri lantas mengejutkan ramai pihak.

Ketika itu, biarpun tidak menamakan individu terbabit, ramai yang menyangka sahabat karib yang dimaksudkan adalah Erra.

Apatah lagi, masing-masing dilihat tidak lagi mengikut antara satu sama lain di Instagram.

Drama dua bintang jelita itu sampai ke kemuncak apabila Erra membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Umie.

Ketika permohonan maaf itu dibuat, mereka difahamkan bertemu di kediaman isteri Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan itu.

Difahamkam, perjumpaan itu sebagai tanda mereka mahu meleraikan kekusutan serta enggan lagi memanjangkan cerita.

Namun sehari selepas itu, Umie di IG miliknya menyebut:“Saya sudah memaafkan tapi tak mampu berkawan semula… Maaf.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast