Sulaiman Wak
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Sulaiman Wak berucap pada majlis Penutup Festival Teater Remaja DBP-Penjara 2019 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sentiasa memberi kerjasama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Penjara Malaysia (JPM) untuk melibatkan penghuni Sekolah Integriti (SI) bawah JPM untuk terlibat dalam bidang kesusateraan.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak berkata, penglibatan penghuni SI itu sebagai usaha kementerian dan pihak terbabit untuk mencungkil bakat mereka.

Di samping itu, katanya, pihaknya juga mahu menyatakan kepada negara luar bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah menyisihkan penghuni SI, malah sentiasa memikirkan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada mereka.

“Apabila DBP menyatakan pihak JPM bersedia memberi kerjasama untuk melibatkan penghuni SI bawah jagaannya dalam dunia kesusasteraan, kementerian ini tanpa banyak alasan lagi terus menyambut baik.

“Ini satu perkembangan baik yang dicetuskan DBP dan Jabatan Penjara, yang cuba beralih angin aktiviti penghuninya kepada bidang teater dan lakonan,” katanya berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Festival Teater Remaja DBP-Penjara 2019 di Auditorium DBP di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salahuddin Abang Shokeran dan Pengarah JPM, Komisioner Ariffin Mohd Noor.
Sebanyak 11 cerpen dari 10 Sasterawan Negara dipilih untuk pertandingan teater remaja kali ini, dengan semua skrip bertemakan dunia remaja dalam menghadapi kehidupan moden hari ini.

Menurut Sulaiman, program seumpama itu yang masuk tahun kedua diadakan dapat memperkasakan dunia sastera dalam teater, selain menerapkan nilai murni dan daya kreativiti dalam kalangan penghuni Sekolah Intergriti.

Beliau turut mengharapkan usaha seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang, sekali gus memberi peluang dan harapan tinggi kepada penghuni apabila keluar dari sekolah itu nanti.

“Kita mahu mereka buktikan, sesiapa sahaja mempunyai kelebihan bakat yang istimewa jika mereka benar-benar gigih melakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette