Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. foto FAREEZ FADZIL, 13 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Empat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yang menyertai Pertunjukan Udara Paris 2019 dijangka memperoleh jualan berpotensi sebanyak RM20 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, peserta aeroangkasa asing dari United Kingdom, Perancis dan Jepun telah menunjukkan minat dan membuat pertanyaan untuk melakukan sama ada usahasama dan integrasi dalam rangkaian pembekalan aeroangkasa.

Selain itu, menurut beliau, syarikat asing itu juga berminat untuk berkongsi pengalaman teknologi dalam fasa Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pengkomersialan aeroangkasa selain Penyelenggaraan dan Pembaikan (MRO).

“Empat PKS Malaysia yang terlibat dalam industri aeroangkasa telah mempamerkan keupayaan teknologi mereka yang tinggi pada Pertunjukan Udara Paris 2019 di bawah Pavillion Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Empat PKS itu Curge Advance Sdn. Bhd., Jecmetal Industries Sdn. Bhd., JWR Industrie Sdn. Bhd. dan Ventures Die Casting Sdn. Bhd. terlibat dalam pelbagai bidang dalam industri aero angkasa.

Selepas menghadiri pertunjukan udara itu, Mohd. Redzuan akan melakukan lawatan selama dua hari ke Britain.

Beliau telah dipelawa untuk menyampaikan syarahan bertajuk ‘Prospek Pasaran dan Keusahawanan Halal’ kepada 14 pemimpin usahawan tempatan di Cambridge Judge Business School.

Ia merupakan menteri Malaysia kedua dijemput ke Cambridge University selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan syarahan di Union Cambridge pada 16 Jun lalu. – MalaysiaGazette