Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya memperluaskan skim insurans bagi kumpulan B40 – MySalam untuk menjadi skim Peduli Sihat seperti yang dijanji dalam manifestonya.

Dengan cara itu barulah lebih banyak rakyat boleh mendapat faedah berbanding skim MySalam yang diwujudkan, selain mengurangkan impak jika caj klinik swasta yang sudah tentu akan dinaikkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Datuk Seri Najib Razak menjangkakan kenaikan caj klinik swasta akan dibenarkan oleh kerajaan selepas perkara itu dibentangkan ke Kabinet sekali lagi.

Katanya, caj konsultasi klinik swasta sekarang adalah antara RM10 dan RM35 dan akan naik antara RM35 dan RM125. Caj itu tidak mengambil lagi kos ubat.

Pada masa sama, bekas perdana menteri itu berpendapat MySalam kurang berjaya kerana dari bulan Januari hingga Jun 2019, tak sampai 3,000 orang telah membuat tuntutan dengan jumlah bayaran terkumpul di bawah RM400,000.

“Kalau jumlah tuntutan MySalam hanya RM400,000 untuk lima bulan, bilakah ianya boleh sampai RM2 bilion yang dibayar oleh Great Eastern?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Oleh sebab itu, kata Najib, kerajaan PH patut memperluaskan skim MySalam untuk menjadi Skim Peduli Sihat yang ditawarkan dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan isi rumah berpendapatan B40.

“Barulah lebih banyak rakyat boleh mendapat faedah berbanding skim MySalam sedia ada dan boleh juga mengurangkan impak dari kenaikan caj klinik swasta yang sudah tentu akan dinaikkan oleh kerajaan PH.

“Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya PH boleh menunaikan satu dari 10 janji 100 hari mereka walaupun sudah lebih 400 hari dari PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast