Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

ALOR SETAR –  Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah di bahagian lengan kiri, selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis trafik dalam kejadian di Jalan Langgar, di semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi semalam, mangsa Mohd Alif Anuar yang membonceng motosikal ditunggang rakannya Zulhilmi Azri, 22, sedang dalam perjalanan dari Kuala Kedah menuju ke tempat kerja mereka, di Alor Mengkudu, di sini.

Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, mendakwa anaknya itu telah ditembak oleh anggota polis trafik, yang cuba memberhentikan motosikal dinaiki anaknya, yang sebelum itu melanggar lampu isyarat merah di jalan tersebut.

“Anak saya kini berada di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah, akibat cedera parah dan doktor memaklumkan bahawa pembedahan untuk mengeluarkan sebutir peluru di bahagian tangan anak saya akan dijalankan malam ini.

“Dia yang berada dalam keadaan sedar ada memberitahu saya bahawa dia telah menyuruh rakannya untuk memberhentikan motosikal, namun rakannya enggan berbuat demikian kerana bimbang ditahan berikutan tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Hashimah berkata, dia tidak berpuas hati dengan tindakan polis berkenaan, yang melepaskan tembakan terhadap anaknya dan berharap tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap anggota tersebut.

“Saya dimaklumkan, selepas melepaskan tembakan itu, anggota polis tersebut meninggalkan anak saya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak membantu menghubungi ambulans.

“Saya mahu tuntut keadilan, kerana anak saya mungkin akan mengalami cacat seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mat Kasim Karim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, bagaimana pun tiada laporan dibuat oleh anggota terbabit.

“Berkemungkinan tembakan yang dilepaskan adalah untuk tujuan memberhentikan motosikal berkenaan, namun tindakan itu adalah tidak wajar dan bertentangan dengan PTKPN.

“Sekiranya tindakan anggota polis itu bertentangan dengan undang-undang, ia membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pasukan polis,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Difahamkan Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast