Penulis buku kenapa Anwar tidka boleh jadi PM, Yahaya Ismail membidas dakwaan Anwar dan Johari yang dikatakan diperas ugut beliau meminta wang RM400,000 untuk membeli buku itu bagi tujuan cetakan.

KUALA LUMPUR – Penulis buku berjudul ‘Mengapa Anwar tidak boleh jadi PM’, Yahaya Ismail terkejut dengan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memeras ugut Presiden PKR itu sebanyak RM400,000.

Yahaya berkata, harga yang dituntut beliau adalah berdasarkan nilai hak cipta yang bakal dijual kepada pembeli manuskrip yang sudah mencetaknya.

“Kalau dia (Anwar Ibrahim) tidak minat jangan beli. Tidak ada paksaan apa-apa sebab hak cipta itu saya yang punya.

“Saya berhak menerbitkan buku itu sendiri kerana hak cipta saya. Kalau saya terbit buku itu dan kalau Anwar atau Johari (Abdul – Pengerusi PKR Kedah) mengatakan saya fitnah, maka bolehlah saman saya kelak. apa masalahnya?” kata Yahaya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 sekiranya enggan buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ diterbitkan.

Menurut Anwar, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul telah membuat laporan polis dan beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia.

Yahaya juga mendakwa, kedua-dua pemimpin itu tidak faham makna ‘naskah pracetak dengan ‘buku’ dan mungkin Anwar dan Johari meroyan ketika situasi politik yang tidak keruan ketika ini.

Menurutnya beliau tidak ada keperluan untuk memeras ugut Presiden PKR itu untuk menjual hak cipta buku tersebut sambil menyifatkan itu hanya kerja orang bodoh.

“Saya tidak berkawan dengan gangster untuk mendapat sokongan memeras ugut politikus yang dua kali masuk penjara kerana meliwat. Itu fakta, bukan auta.

“Kalau mereka menuduh saya penulis upahan menghasilkan buku itu sila tunjuk bukti. Boleh periksa akaun bank saya dan sila dedahkan nama manusia yang bermurah hati mengupah saya.

“Saya akan menyaman mereka kerana menuduh saya penulis upahan,” ujarnya sambil menambah beliau tetap akan menerbitkan buku itu sekiranya tidak ada pihak lain yang sanggup membeli hak ciptanya.

Menurut Yahaya, beliau mahu menjelaskan situasi sebenar supaya rakyat tidak terpengaruh dengan putar belit Anwar dan Johari mengenai naskah pracetak berjudul ‘Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’.

Katanya, setiap kandungan dalam buku pracetak itu merupakan hasil kajian beliau sendiri.

Dalam kenyataan media itu, Yahaya turut berkongsi pengalamannya sebagai penulis politik melibatkan lebih 50 judul buku dalam tempoh 40 tahun.

Salah satu buku yang diterbitkan beliau pada 1993 berjudul ‘Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria’.

Yahaya yang mengaku telah mengkritik kepimpinan Anwar mendakwa pemimpin itu telah menjemput beliau ke rumahnya untuk berbincang mengenai politik selama dua jam, daripada pukul 11.45 malam hingga 1.45 pagi.

“Dia takut saya mendedahkan berbagai tindakannya yang tidak mengikut ajaran agama walaupun dia mendabik dada sebagai pejuang Islam, dia takut saya mendapat maklumat lebih banyak mengenai hubungan homoseknya.

“Anwar kawan saya sejak tahun 70-an tapi saya tidak sejalan dengan politiknya dan tidak menyertai mana-mana parti politik sehingga kini.

“Sebagai penulis saya mencari kebenaran dan berjuang untuk bangsa, agama dan negara,” dakwanya.

Yahaya mendakwa bahawa umum tahu Anwar meroyan hendak menjadi Perdana Menteri (PM) dan menegaskan, majoriti masyarakat khususnya kaum Melayu tidak boleh menerima seorang homoseks sebagai pemimpin mereka.

“Baca kemurkaan Allah dalam Al-Quran terhadap homoseks yang dilaknati Allah di Sodom dan Gemorrah. Sebagai penulis beragama Islam saya tidak boleh terima dia sebagai PM dan telah sertakan berbagai fakta dan hujah dalam naskah itu sebagai mempertahankan pendirian saya.

“Saya memberi naskah itu kepada beberapa orang tertentu untuk mendapat komen mereka di samping mempromosikan buku itu dalam Whatsapp melalui kulit buku tersebut,” ujarnya.

Yahaya menjelaskan mempromosi hasil tulisannya itu bukannya satu kesalahan, malah beliau turut memberikan naskah itu kepada Anwar dan juga Johari untuk mereka baca dan kalau mahu membeli hak ciptanya.

Tambah Yahaya, ia lazim dilakukan dalam bisnes penerbitan buku sambil memberitahu beliau mengemukakan naskah itu kepada beberapa individu tertentu untuk mereka beli hakcipta.

“Saya letak harga jualan hak cipta RM400,000 kerana saya tahu buku ini boleh jadi bestseller, lagipun sebagai penulis dan penerbit berpengalaman selama 40 tahun saya tahu jenis buku yang boleh jadi bestseller,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast