Foto Instagram Abby Abadi.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi memberi bayangan kini hamil cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan Faizal Zakaria selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun Abby, 42, belum bersedia berkongsi sebarang berita kerana berpendapat masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

Namun dia mengakui suaminya telah membawanya ke klinik untuk menjalani ujian imbasan.

“Suami membawa saya pergi ‘scan’, tadi. Alhamdulillah, syukur. Nanti sahaja saya cerita. Segan nak cerita sekarang… Awal lagi.

“Untuk doktor, jangan serik jumpa saya setiap bulan mulai bulan ini ya,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Bintang Gerak Khas itu pernah mengalami keguguran ketika kandungannya memasuki bulan kelima pada 2017.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan aktor, Norman Hakim, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 42, dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11.

Abby dan Norman berpisah pada 2008.

Bersama Faizal pula, pasangan itu mengambil dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyadh dan Maisara Dayana Fathia yang masing-masing berusia setahun.

Sementara itu, Faizal turut meluahkan rasa syukur di atas kurniaan Ilahi sekaligus mengesahkan berita gembira itu.

“Hari ini, baru ada masa untuk membawa cinta hati saya ke klinik. Alhamdulillah… Perancangan Allah adalah yang terbaik.

“Syukur di atas segala-galanya. Terima kasih Allah. Moga hamba-Mu ini tidak lalai untuk terus bersujud pada-Mu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast