KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa bertindak dengan tidak berhati perut apabila melempar seekor kucing ke dinding hingga mati.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah kedai makan, kejadian dikatakan berlaku pada Isnin lalu di Bukit Beruang Melaka.

Video tersebut menjadi tular di laman sosial Facebook hingga menarik perhatian warganet.

Dalam rakaman itu seorang wanita berbaju biru turun dari motosikal Modenas Kriss berwarna biru yang dinaikinya dan diletakkan di hadapan kedai pengadu serta dilihat sedang mencari sesuatu.

Bagaimanapun selepas beberapa minit ada seekor anak kucing melintas di hadapan kedai pengadu dan wanita itu telah mengambil kucing itu di tepi kaki lima kedai pengadu, membuat sesuatu yang tidak pasti kepada kucing tersebut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.

Katanya, siasatan mendapati bahawa terdapat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang merakamkan kejadian yang berlaku, namun perbuatan suspek memukul kucing itu tidak kelihatan.

Tambah beliau, identiti suspek termasuk umur, masih disiasat dan seksyen kes juga belum diklasifikasi.

Sehubungan itu katanya lagi, polis kini sedang mengesan wanita terbabit bagi membantu siasatan kes berdasarkan aduan lelaki berkenaan. – MalaysiaGazette