Kawasan Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang yang dibakar malam tadi.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian merosakkan batu nisan dan membakar kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang dekat sini malam tadi agar segera tampil salur maklumat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pihak JAIM atau balai polis berdekatan.

“Kita perlukan maklumat daripada orang ramai bagi membolehkan siasatan dijalankan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 62, Enakman 6 Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka 1991) kerana mempersendakan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian tersebut yang melibatkan 20 batu nisan dirosakkan dan dua buah kubur lagi mempunyai kesan plastik dibakar malam tadi.

Menurut polis sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – MalaysiaGazette