PARIS – Selepas India, penduduk Eropah pula bakal berdepan dengan fenomena gelombang haba apabila amaran kuning dikeluarkan di beberapa tempat.
Agensi ramalan cuaca menjangkakan suhu akan mencecah sehingga 40 darjah celcius di kebanyakan lokasi barat Eropah.
Antaranya dari Great Britain sehingga ke Belgium, juga Greece.
Haba panas mula meningkat esok di Sepanyol serta Afrika Utara dengan kemuncaknya boleh dirasainya pada pertengahan minggu akan datang.
Malah, di Sepanyol, Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan amaran negara itu akan dilanda gelombang panas luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Britian melahirkan kebimbangan gelombang panas, yang mungkin ada menyusul bencana lain seperti ribut ganas, selain musim panas tidak stabil dan di luar jangkaan.
Jerman turut menjangkakan cuaca panas sehingga 38 darjah celcius dan berlarutan di Belgium dan Switzerland bermula hujung minggu.
Di Perancis, pakar kaji cuaca, Francois Gourand berkata, gelombang haba luar jangkaan pada Jun dan bakal mengatasi rekod cuaca panas sebelumnya.
Gelombang haba ditakuti Perancis selepas insiden hitam pada 2003 yang mengakibatkan hampir 15,000 maut di negara itu.
Minggu lalu, gelombang panas melampau dengan suhu mencecah sehingga 50 darjah celcius, mengakibatkan 45 orang maut dalam tempoh 24 jam di Bihar, India.
Gelombang panas berlaku pada 2015 menyebabkan 3,500 orang maut di India dan Pakistan. –MalaysiaGazette