Shaid Rosli
Shaid Rosli

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan perlu campur tangan terhadap keputusan kontraktor pembersihan yang didakwa memberhentikan ramai pekerja mereka sebelum ini sehingga menyebabkan kebanyakannya hilang punca pencarian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli berkata, KPM khususnya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik perlu memandang serius isu ini dan mencari titik penyelesaian yang konstruktif.

“Kebanyakan pekerja pembersihan yang diberhentikan adalah golongan berpendapatan rendah atau B40 termasuk ibu tunggal dan penerima bantuan kerajaan seperti Baitulmal yang masih menanggung beban menyara kehidupan keluarga.

“Berdasarkan laporan media sebelum ini, lebih 45,000 pekerja pembersihan di seluruh negara diberhentikan dengan alasan kekangan peruntukan dan kewangan yang disalurkan Kementerian Pendidikan kepada syarikat-syarikat kontraktor.

“Keputusan ini agak mengecewakan dan seolah-olah satu penganiayaan kepada kumpulan pekerja pembersihan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Bendahari Parti Pribumi Bersatu Selangor itu lagi, jika itulah alasannya, KPM boleh mengambil contoh apa yang dilakukan oleh kerajaan Selangor di mana mereka menawarkan tender berdasarkan tawaran harga.

“Sistem tender Selangor berdasarkan siapa yang menawarkan pada kadar lebih rendah akan layak menerimanya.

“KPM juga sepatutnya boleh menggunakan kaedah itu dengan menetapkan syarat bagi mana-mana kontraktor yang boleh menawarkan pakej yang lebih rendah untuk kelayakan diberi kontrak,” ujarnya lagi.

Dengan kaedah berkenaan, jelas beliau, kemungkinan pembuangan pekerja dapat dielakkan.

Sebagai contoh tambahan, jika di dalam sebuah sekolah itu memiliki 14 pekerja pembersihan dan 10 pekerja sudah diberhentikan, mana mungkin empat pekerja itu mampu bekerja dan boleh menguruskan kebersihan di seluruh sekolah berkenaan.

“Di DUN Jeram sendiri, seramai 39 orang pekerja pembersihan sudah membuat aduan di pejabat ADUN kerana diberhentikan dan sebahagian besar adalah ibu tunggal serta masih mempunyai tanggungan dan gaji yang diterima pula adalah gaji asas iaitu RM1,100.

“Dr Maszlee Malik perlu memberi reaksi terhadap isu ini dan menyuarakan satu jalan penyelesaian yang dapat mengurangkan beban mereka yang sudah diberhentikan,” tegasnya.

Menurut beliau, langkah berkenaan juga penting bagi menunjukkan Pakatan Harapan (PH) serius dalam usahanya membela nasib rakyat.

“Rakyat kini sudah terbeban dengan kos sara hidup dan situasi berkenaan satu yang tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Harapan sendiri,” ujar beliau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast