Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2019

PETALING JAYA – Tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sering tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan sejak tercetusnya klip video seksnya mirip beliau adalah isu yang berbeza.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang penting parti itu menolak budaya politik kotor sejak isu tersebut timbul dari awal.

Jelas beliau, MPP juga tidak berminat untuk menyoal Menteri Hal Ehwal Ekonomi tentang kandungan klip video tersebut.

“Beliau tidak datang mesyuarat adalah isu berbeza.

“Pendirian parti dari awal adalah menolak budaya politik kotor.

“Kita juga tidak berminat menyoal beliau tentang kandungan klip video itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat MPP Keadilan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Mohamed Azmin yang tidak hadir mesyuarat parti sejak timbul isu klip video seks miripnya dan apakah beliau perlu membuat penjelasan kepada ahli parti.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan beliau mengambil pendirian untuk tidak masuk campur sama ada perlu Azmin menyaman Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Ia berikutan tindakan Haziq yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencabar Mohamed Azmin agar menyaman beliau berdasarkan laporan media hari ini.

“Saya tidak akan masuk campur isu saman ini namun saya sentiasa memberi pandangan peribadi kepada Azmin dari masa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast