Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan, malah telah merosakkan insitusi pentadbiran awam yang selama ini menjadi elemen semak dan imbang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui lantikan politik.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris mendakwa, peranan SPRM telah dimanipulasi dan dicabul kerajaan sebagai instrumen untuk melemahkan UMNO.

Menurutnya, ketidaktelusan kerajaan dalam konsep “rule of law” dapat dilihat apabila tiada perkembangan dalam kes rasuah pemimpin DAP dalam projek terowong Pulau Pinang dan kes rasuah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR seperti yang dilaporkan Rafizi Ramli.

“Itu belum lagi, menyentuh soal kegagalan kerajaan menangani masalah yang dihadapi rakyat seperti peningkatan kadar pengangguran, kenaikan harga barang, peningkatan tarif elektrik dan pelbagai lagi.

“Kadar pengangguran golongan belia Malaysia adalah tinggi iaitu 10.8 peratus kerana tiadanya inisiatif kerajaan untuk membantu golongan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najmil berkata, bukan sahaja golongan B40 yang terbeban untuk memiliki rumah yang semakin mahal, malah golongan M40 juga terkesan dan sehingga hari ini tiada usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Tambah beliau, kestabilan ekonomi juga menjadi taruhan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan akan menjual lagi aset-aset penting negara selain penurunan taraf PETRONAS oleh Moody’s Investors Service kepada A2 daripada A1.

Menurutnya, slogan “Selamatkan Malaysia” yang digunakan PH terbukti merosakkan kehidupan rakyat apabila saiz kakitangan awam juga ingin dikurangkan serta pekerja kontrak pembersihan diberhentikan.

Terlalu banyak kelemahan dan kerosakan yang dilakukan kerajaan PH untuk disenaraikan yang dilihat semakin menggadaikan masa depan negara dan rakyat.

“Ke manakah hala tuju negara dan nasib rakyat Malaysia dibawah Pakatan Harapan?

Dakwanya, kini terbukti kerajaan PH bukanlah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat, malah merosakkan masa depan rakyat yang mana rakyat semakin terbeban dengan tiadanya pembelaan daripada kerajaan. – MalaysiaGazette