Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan. foto FAREEZ FADZIL, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan gesaan Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir yang meminta UMNO memulangkan semula dana yang katanya diterima dari 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sebagai tidak berasas.

Malah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden itu menyarankan agar Akmal memberi cadangan yang kalau pun tidak bernas, sekurang-kurangnya ia rasional dan praktikal.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, bercakap tanpa sebarang pengetahuan asas undang-undang dan fakta terkini adalah sangat mengecewakan.

“Sekalipun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap Saudara Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas permintaan Akmal yang meminta Mohamad memulangkan semula dana 1MDB yang diagihkan kepada UMNO untuk menunjukkan Timbalan Presiden UMNO itu berbeza dengan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Mohamad yang menyanggah cadangan Ahli parlimen Johor Bahru itu mengemukakan tiga alasan mengapa gesaan tersebut tidak relevan.

Katanya, pemfailan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk pengembalian dana yang kononnya dari 1MDB adalah satu proses undang-undang.

Berikutan itu, katanya, komitmen terbaik UMNO adalah untuk menghormati proses tersebut dan tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Amat pelik jika seorang Ahli Parlimen menggesa saya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas.

“Adakah saudara Akmal sebenarnya tidak yakin bahawa SPRM boleh membuktikan kes mereka dan beliau tidak mempercayai kebolehan mahkamah dalam membicarakan kes ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang mengemukakan alasan kedua memberitahu, permintaan Akmal bukan sahaja tidak berasas tetapi jelas menunjukkan yang beliau tidak peka dengan keadaan semasa.

Ini kerana, menurut beliau, sekalipun dana yang diterima UMNO itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk parti itu untuk pulangkan wang tersebut sedangkan dana UMNO sudah dibekukan oleh Kerajaan.

“Ketiga, jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun. UMNO tidak bermain geng-geng dalaman.

“Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan UMNO dan mengukuhkannya secara keseluruhan,” katanya sambil menambah ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran antara Timbalan Presiden Pkr, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast