Datuk A. Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menamakan pemimpin dunia yang bertindak meletak jawatan selepas terpalit atau terkena tempias skandal seks dalam karier politik masing-masing.

Menulis dalam blog beliau, Kadir tanpa menamakan mana-mana induvidu secara terbuka melontarkan beberapa persoalan yang perlu didalami pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga merupakan bekas wartawan berkata, insiden video seks ‘Santubong’ ini adalah satu ujian kepada PH untuk menjadi lebih terbuka, telus dan bertanggungjawab selain ujian kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

“Persoalan yang perlu ditanyakan oleh setiap pimpinan PH pada masa ini adalah, adakah kita menggunakan parti dan kedudukan dalam kerajaan untuk melindungi diri sendiri daripada ‘kesalahan’ yang telah dilakukan?

“Atau persoalan adakah saya akan melindungi parti saya dan kerajaan saya daripada melakukan sesuatu yang memalukan dengan melakukan perkara yang sebetulnya?

“Insiden video ini juga merupakan ujian keupayaan kepimpinan PH untuk berhadapan dengan tekanan dengan meletakan kepentingan negara dan bukannya isu peribadi semata-mata.

“Sebenarnya sejak seminggu yang lepas ramai telah meminta saya komen tentang isu video seks ini yang saya cuba elakkan termasuk seorang pemimpin paling kanan dalam PKR.

“Apabila anda bergelar seorang penulis dan ‘tua’ seperti saya dalam dunia ini, pastinya anda mempunyai sedikit kelebihan iaitu, pengetahuan tentang sejarah silam.

“Anda boleh pilih untuk ‘berlagak sombong’ kerana tahu rahsia segelintir orang atau merendah diri sahaja kerana hakikatnya kita semua manusia biasa, saya akhirnya terpanggil juga untuk menjawab tentang isu video seks ‘Santubong’ ini,” katanya.

Jelas Kadir, selama ini beliau mendiamkan diri kerana tidak mahu reputasinya terjejas seperti sebelum ini kerana dituduh memihak ketika mengetuai NSTP dengan merujuk isu salah laku seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dipecat.

Kadir memberikan contoh beberapa pemimpin dunia meletak jawatan selepas terpalit dengan skandal seks di negara masing-masing.

Kata beliau, pemimpin termasuk yang berjawatan Menteri seperti Andrew Griffiths di Britain dan Jim Wilson meletak jawatan.

“Tahun lalu, Menteri Andrew Griffiths letak jawatan selepas menghantar mesej berunsur seks. Kerana itu sahaja, beliau letak jawatan. Di India, Menteri Luar, Mobashar Jawed Akbar letak jawatan kerana terlibat dengan pertikaian dengan seorang wartawan di mahkamah.

“Di Kanada pula, Menteri Jim Wilson letak jawatan selepas di tuduh dengan dakwaan seks. Sudah tentu saya juga tidak lupa dengan  hubungan sulit Prufomo pada 1961, di mana Setiausaha Negara Britain bagi Perang, John Prufomo dipecat dan dipenjarakan selepas mengaku mengadakan hubungan sulit dengan seorang model berusia 19 tahun, Christine Keeler.

“Dia dipenjarakan bukan kerana tidur dengan Keeler, tetapi disebabkan berbuat demikian, dia membahayakan keselamatan UK kerana wanita itu ialah teman wanita seorang perisik Soviet berpangkalan di UK.” ujarnya. – MalaysiaGazette