Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR- “Letak jawatan atau bunuh diri bukan cara kita. Saya tahu ada negara yang apabila sebuah pesawat terhempas, Menteri Pengangkutannya akan letak jawatan atau terjun bangunan tetapi kita tidak perlu berbuat demikian (semata-mata) kerana orang lain buat,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menjawab kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Medianya, Datuk A. Kadir Jasin mengenai amalan kebanyakan pemimpin di negara-negara luar yang akan meletak jawatan sekiranya terpalit dengan skandal.

Dr. Mahathir yang masih lagi mempertahankan Datuk Seri Azmin Ali percaya, penyebaran video seks songsang dan pengakuan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Haziq Abdullah Abdul Aziz hanyalah permainan kotor politik yang mahu menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

“Di sini (penyebaran video seks songsang) itu pastinya adalah satu percubaan yang memang dirancang untuk menjejaskan masa depan Azmin Ali.

“Saya tidak rasa beliau sebodoh itu untuk melakukan perbuatan tersebut dan dirakam dalam gambar seperti itu.

“Saya percaya ada seseorang yang mengambil gambar berkenaan untuk menjatuhkan beliau.

“Pada masa sekarang, dengan segala keajaiban teknologi, anda boleh membuat sebanyak mana gambar yang mungkin benar atau mungkin palsu,” katanya lagi.

Kadir dalam blognya semalam menyifatkan penyebaran video seks tersebut sebagai ujian kepada Pakatan Harapan (PH) terhadap janji-janji mereka yang mahu menjadi kerajaan yang terbuka, telus dan bertanggung jawab.

Beliau yang juga seorang Ahli Majlis Tertinggi PPBM turut memberikan beberapa contoh pemimpin antarabangsa yang telah meletakkan jawatan kerana terpalit dengan skandal.

“Persoalan yang perlu ditanyakan oleh setiap pemimpin PH adalah, adakah saya menggunakan kedudukan di dalam parti dan kerajaan untuk melindungi diri sendiri daripada kesalahan yang saya lakukan atau melindungi parti dan kerajaan saya daripada perbuatan memalukan dengan melakukan perkara yang betul?” tulisnya di laman blog beliau.

Kadir bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai skandal yang dimaksudkan termasuk tidak menyebut mengenai video seks yang didakwa melibatkan Azmin.- MalaysiaGazette