Pelabur asing menjual sejumlah AS$704.3 juta ekuiti minggu lalu berbanding AS$705.4 juta pada minggu sebelumnya. - MIDF Research
Menara MIDF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dana asing membeli sejumlah RM28.3 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu, aliran kedua paling rendah setakat tahun ini.

Bursa memulakan minggu ini dengan pelupusan dana pelabur asing sebanyak RM115 juta pada hari Isnin kerana para pelabur menjangkakan kadar faedah yang lebih rendah daripada Rizab Persekutuan.

Walau bagaimanapun, tahap jualan bersih asing meruncing secara signifikan kepada RM14.6 juta pada hari Selasa, sebahagiannya dikaitkan dengan sedikit kenaikan di Wall Street pada hari Isnin walaupun pertikaian perdagangan sedang berlaku dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pelabur antarabangsa membuat kemunculan semula pada hari Rabu dengan membeli sejumlah RM125.2 juta ekuiti tempatan.

Kebanyakan risiko itu didorong oleh prospek pertemuan panjang antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping di Jepun pada minggu ini semasa Sidang Kemuncak G-20.

Sidang kemuncak itu untuk untuk melancarkan semula rundingan perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu selepas kebuntuan selama sebulan.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur luar pesisir kembali dalam mod jualan sebanyak RM20.9 juta pada hari Khamis. Jumaat adalah puncak minggu ini dengan menyaksikan aliran masuk sederhana sebanyak RM28.3 juta, dipacu oleh keuntungan 0.4% dalam FBM KLCI untuk mencapai penutupan tertinggi sejak 20 Mac 2019.

Ia juga didorong oleh isyarat Rizab Persekutuan yang sudah bersedia untuk menurunkan kadar faedah untuk kali pertama sejak 2008.

Dengan seminggu lagi baki bulan Jun 2019, pelabur asing telah melupuskan sejumlah RM37.1 juta.

Sepanjang tahun ini, aliran keluar dana asing dari Malaysia berjumlah RM4.84 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast