SPRM

ALOR SETAR – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama Ketua Jabatan Kontrak dan Perolehan dari sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kerana menerima rasuah pada awal tahun ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar Rashidah Azmi.

Menurut sumber SPRM, CEO tersebut iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun dan ketua jabatan iaitu seorang wanita berusia 34 tahun itu, ditahan di pejabat SPRM negeri di sini, kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan berkaitan siasatan kes itu.

Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam penerimaan rasuah itu daripada kontraktor, berhubung untuk melanjutkan tempoh kontrak dengan cara perlu mengubah suai kedai makan milik CEO itu secara percuma membabitkan anggaran kos RM350,000 yang disyaki dilaksanakan kontraktor itu.

“CEO ini disyaki meminta kontraktor tersebut baiki kedainya secara percuma. Kemudian selepas baiki kedai itu, kontraktor ini boleh melanjutkan kontrak tersebut. Setakat ini kita baru kesan seorang kontraktor terlibat, difahamkan ada lagi kontraktor lain mengalami situasi sama, dalam usaha mendapatkan kontrak dan kita masih sedang siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sumber itu berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

— BERNAMA