KANGAR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menyelesaikan kemelut pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang bertanding merebut jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu, Sabtu ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata KBS berpendirian untuk tidak campur tangan dan menyerahkan kepada MPM dan PJS untuk menentukan sama ada Khairy layak atau tidak untuk merebut kerusi nombor satu itu.

“Kita (kerajaan) tidak masuk campur soal ini. Tiada masalah untuk sesiapapun bertanding dan harus mengikut peraturan persatuan. Ia ditentukan berdasarkan perlembagaan badan sukan itu sendiri (sama ada layak bertanding atau tidak),” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas pelancaran Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis dan ‘Youth Biz Expo’ @ Perlis 2019 yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Sekolah Kebangsaan Kayang hari ini.

Semalam, Khairy mendesak agar PJS membuat keputusan segera sama ada beliau layak atau tidak untuk bertanding jawatan presiden ekoran pertikaian yang berlaku kerana beliau dilaporkan menghantar borang pencalonan selepas tarikh tutup.

Bagaimanapun, Presiden MPM SM Nasimudin SM Nasiruddin dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Khairy yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia dan empat lagi calon sah untuk bertanding kerana mereka mematuhi peraturan dan memfailkan pencalonan masing-masing dalam tempoh masa dan mematuhi syarat yang ditetapkan di borang pencalonan.

Khairy dicabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) Datuk Seri Megat D Shahriman Zahirudin yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden MPM selepas SM Nasarudin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.

Pada majlis pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis itu, Steven turut menyertai Tuanku Syed Faizuddin berbasikal dalam Kayuhan Belia Wawasan bersama kira-kira 60 peserta.- BERNAMA