Harga ikan meningkat pada bulan Mei.

KUALA LUMOUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.2 peratus pada Mei 2019 kepada 121.4 berbanding 121.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+1.8 peratus), Minuman Alkohol & Tembakau (+1.3 peratus), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+1.2 peratus), Pendidikan (+1.2 peratus), Restoran & Hotel (+0.6 peratus) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (+0.5 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding bulan April 2019.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari – Mei 2019 mencatatkan penurunan 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan 1.2 peratus pada Mei 2019.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan Sayur-Sayuran (+4.5 peratus), Ikan & Makanan Laut (+0.9 peratus) dan Susu & Telur (+0.7 peratus).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah Timun (+23.7 peratus), Cili Merah (+23.6 peratus), Kobis Bulat (+18.2 peratus), Kacang Panjang (+16.9 peratus), Kerang (+11.1 peratus), Telur Ayam (+8.4 peratus), Ikan Tenggiri (+4.6 peratus), Ikan Merah (+3.1 peratus), Sawi (+2.0 peratus), Ketam (+2.0 peratus) dan Udang (+1.5 peratus).

Indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 2.9 peratus pada Mei 2019 berbanding Mei 2018. Kenaikan harga bagi Burger, Ayam Goreng, Nasi Campur dan Makanan berasaskan Mee telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.

Menurutnya, tiga negeri iaitu Pulau Pinang (+0.7 peratus), Negeri Sembilan (+0.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+0.5 peratus) menunjukkan kenaikan melepasi paras nasional sebanyak 0.2 peratus pada Mei 2019 berbanding Mei 2018.

Sementara itu, Kelantan, Johor dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional.

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicatatkan di semua negeri di Malaysia.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.8 peratus), Johor (+1.8 peratus) dan Negeri Sembilan (+1.4 peratus) mencatatkan kenaikan melebihi paras indeks nasional kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol bagi bulan Mei 2019. – MalaysiaGazette