Rizal Faris Mohideen Abdul Kader

KUALA LUMPUR – Seramai 18 bekas ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) didakwa mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan DPMM secara tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan perlembagaan DPMM pada 15 Jun lalu.

Mereka yang menganjurkan mesyuarat tersebut ialah Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee, Fauzi Hassan, Abdul Halim Husin, Norsyahrin Hamidon, Datuk Syed Ali Alattas, Abdul Rahman Yaakub, Yusri Yusof dan Mohd Azmi Ali.

Selain itu, Zuhaizar A. Karim, Harun Mahmud, Mohd Rasit Saleh, Md. Pishal Ab. Raub, Mohd Zayad Md. Ismail, Muhammad Farhan Basheer Ahamed, Mohd Yusrizal Omar, Haji Awang Sham Amat, Hamzah Paravil Moideom dan Samani Amat.

DPMM dalam kenyataannya berkata, penganjuran mesyuarat tidak sah ini adalah satu penipuan besar dan bertujuan untuk merampas kuasa dari kepimpinan DPMM yang sah.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut mengelirukan serta memperdaya ahli-ahli DPMM dan masyarakat umum, yang mana dalam AGM ini, Syed Hussein telah dilantik sebagai presiden baharu oleh bekas-bekas ahli yang turut sama bersubahat dalam perbuatan menyalahi undang-undang ini.

Untuk rekod, keahlian Datuk Seri Syed Hussein dan 17 nama tersebut di atas ini telah tergugur secara automatik berkuatkuasa pada 13 September 2018.

Ia mengikut fasal 27.6.6 dan 8.12.5 Perlembagaan DPMM kerana telah membawa DPMM ke mahkamah di bawah Saman Pemula No. WA-24NCvC-1819-09/2018, seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung DPMM Yang Ke 52 pada 22 November tahun lepas dan telah diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

DPMM menegaskan presidennya yang sah di sisi undang-undang ketika ini masih lagi Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, seperti dalam rekod eRoses terkini di bawah kelolaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Malahan laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan susulan.

DPMM berharap tindakan selanjutnya ke atas para penganjur mesyuarat agung tidak sah ini akan diambil secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli DPMM. – MalaysiaGazette