Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (kanan) bergambar bersama pembekal sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) Pertama di Bawah MED di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Semua vendor di negara ini digesa untuk tampil bagi membolehkan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan membantu mereka dalam mengembangkan perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya mempunyai peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-111 (RMK11) sebanyak RM61 juta untuk geran pembangunan kepada vendor.

“Maksimum satu vendor (pembekal) kita bincang tadi RM1 juta. Semua vendor yang ada kemampuan digalakkan untuk menghubungi kementerian bagi memastikan mereka boleh menerokai dana itu bagi membangunkan perniagaan mereka sebagai vendor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Ini kali pertama mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor dilangsungkan bagi membangunkan usahawan vendor agar terus berdaya tahan dan bertaraf global.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, program pembangunan yang dirintis oleh kementeriannya itu akan merencanakan laluan kepada para vendor tempatan untuk meneroka pasaran luar negara.

MGF27062019_Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof_06
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) Pertama di Bawah MED di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 JUN 2019

“Saya berusaha untuk mendapat peruntukan yang lebih bagi memastikan pembangunan ini.

“Saya mahu program ini lebih bersasar supaya kesemua sektor strategik yang melibatkan pembangunan teknologi dapat menyediakan kepakaran serta membangunkan usahawan dan vendor yang berdaya saing di dalam negara untuk lebih menerokai pasaran luar,” katanya lagi.

Program Pembangunan Vendor dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan telah menerima peruntukan RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Daripada jumlah itu, RM30 juta adalah untuk Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor atau GPPV dan baki RM31 juta lagi untuk Program Pembangunan Kapasiti Vendor atau PPKV. – MalaysiaGazette