Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar di PICC, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 27 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan kerangka hala tuju pembangunan luar bandar ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi yang berteraskan tiga prinsip utama.

Langkah hala tuju tersebut disenarai menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, tiga prinsip tersebut ialah kemampanan, inklusif dan holistik yang masing-masing merangkumi asas kelangsungan kesejahteraan hidup, keseimbangan dan pelbagai dimensi.

Katanya, penggubalan itu telah merujuk kepada dasar semasa termasuk Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030, Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kesebelas, Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dan Agenda Matlamat Pembangunan Mapan 2030.

“DPLB digubal meliputi dua rancangan lima tahun negara iaitu RMK-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran DPLB 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Luar Bandar, Sivarasa Rasiah.

Mengulas lanjut Rina berkata, DPLB menggariskan 10 teras, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan sehingga 2030.

Katanya, antara 10 teras itu adalah ekonomi berdaya saing dan mampan, keusahawanan pemacu pembangunan ekonomi, modal insan berkualiti dan prasarana lengkap dan canggih.

“Lima lagi adalah keunggulan generasi remaja luar bandar, wanita luar bandar yang progresif, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mampan dan perumahan, pembangunan wilayah dan penempatan desa bersepadu,” katanya.

Tambah beliau, DPLB di samping itu mengetengahkan beberapa perubahan pemacu dalam menghadapi perubahan bakal berlaku seperti internet, melengkapi infrastruktur asas pembangunan ekosistem digital dan pembangunan kluster baharu pelbagai sektor ekonomi.

Ujarnya, ini kerana beberapa cabaran besar yang dijangka dihadapi oleh masyarakat luar bandar.

“Ia membabitkan peningkatan penggunaan teknologi digital, perkembangan terhadap sistem e-dagang serta penggunaan teknik dan teknologi baharu dalam sektor pertanian dan perniagaan.

“Selain itu, perkembangan terhadap IR 4.0 dijangka memberi impak terhadap pembangunan negara dan ekonomi digital termasuk di luar bandar juga diambil kira,” jelas beliau. – MalaysiaGazette