KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) julung kali tersenarai di kedudukan 201-250 dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2019 yang diumumkan semalam.

Naib Canselornya Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata reputasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka terus gah di persada antarabangsa dan melakar sejarah tersendiri dengan pencapaian tersebut.

“UUM sudah berusia 35 tahun dan pelbagai pencapaian telah dicapai sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Sehubungan itu, penyenaraian UUM, sebagai universiti di bawah usia 50 tahun adalah sesuatu yang amat mengagumkan.

“Kejayaan ini sudah tentu membanggakan seluruh warga UUM kerana sukar untuk mendapat tempat dalam senarai universiti terbaik dunia kerana ia melibatkan reputasi universiti dalam pelbagai aspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah menjadi harapan beliau agar warga universiti terus berusaha untuk menjayakan agenda universiti yang lain kerana masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan UUM sebaris dengan universiti ternama dunia.

THE Young University Rankings menggunakan 13 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (persekitaran pembelajaran), penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), sitasi (pengaruh penyelidikan), pandangan antarabangsa (staf, pelajar dan penyelidikan) dan pendapatan industri (pemindahan pengetahuan).

Kedudukan bagi tahun 2019 ini turut melibatkan 351 universiti seluruh dunia, meningkat dari 250 universiti pada 2018, manakala keputusan penuh boleh dilihat menerusi https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2019/young-university-rankings.

— BERNAMA