Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi bercakap pada sidang media selepas hadir pada Program Sukan dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019 di Krom Luang Narathiwat Ratchanakarin, Narathiwat, Thailand. foto NOOREEZA HASHIM, 28 JUN 2019.

NARATHIWAT- Datuk Mohamaddin Ketapi menyifatkan surat layang yang menyerangnya didalangi oleh seseorang yang berangan-angan besar untuk mendapatkan jawatan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, surat yang sebeum ini viral di media sosial memaparkan luahan hati mengenai seorang pegawai tinggi di kementeriannya adalah fitnah.

“Isu surat layang, semuanya ini fitnah, tidak ada berlaku.

“Semuanya ini fitnah, saya tak tahu tapi di dalam Sabahkini kalau kita baca. Orang ramai membaca menceritakan kepada saya. Mungkin ada seseorang berangan-angan terlalu tinggi sehingga tidak tahu batas-batasnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Kebudayaan Thailand-Malaysia.

Malah beliau menganggap tindakan itu berpunca daripada ketidakpuasan hati dan rasa tergugat pihak tertentu apabila beliau membuat keputusan mahu mengambil semula bekas Ketua Setiausaha kementerian itu.

“Hanya mungkin tersebut di dalam yang saya nak bawa balik mantan Ketua Setiausaha kementerian saya, mungkin ada yang terasa bahawa dia akan dipinggirkan jadi cara mempertahankan kedudukannnya, dia menuduh,” ujarnya.

Terdahulu surat layang yang mengkritik Mohamaddin tersebar di WhatsApp.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata surat layang itu bukan daripadanya dan menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan tindakan itu.

Sementara itu, Mohamaddin menafikan dakwaan bahawa sebuah bangunan lama dalam kawasan bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan pejabat setinggi 21 tingkat pejabat.

Beliau yang menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas berkata, perkara tersebut belum dibincang dan belum dilulus oleh Kabinet. – MalaysiaGazette