Dr. Sahruddin Jamal
ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal diminta supaya turun padang melawat lokasi kejadian gangguan kesihatan sesak nafas dan muntah-muntah di Pasir Gudang bagi meyakinkan masyarakat bahawa keadaan di kawasan itu terkawal.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Ir Hasni Mohammad menegaskan perkara berkenaan semasa membahaskan usul Mengkaji Semula Tahap Keselamatan Rakyat di Pasir Gudang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, petang ini.

Beliau berkata pihak pembangkang menyokong usul itu tetapi dengan bersyarat.

“Menteri Besar perlu turun dengan segera dan beri jaminan kepada rakyat bahawa keadaan terkawal, saya pasti Yang Amat Berhormat (YAB) seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tahu apa yang perlu dibuat kerajaan negeri.

“Masalah besar adalah keyakinan masyarakat di Pasir Gudang, YAB sahajalah yang dapat menenangkan penduduk di situ, saya yakin dengan jaminan YAB, ia akan selesai,” katanya.

Menurut Hasni, terdapat 2,005 kilang di Pasir Gudang dengan 250 daripadanya merupakan kilang berasaskan bahan kimia yang sekaligus menyebabkan kebimbangan di kalangan masyarat memang ada.

Terdahulu, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (PH-Permas) memohon membawa rundingan supaya DUN Johor membahaskan usul Mengkaji Semula Tahap Keselamatan Rakyat Pasir Gudang di bawah Peraturan Tetap Bilangan 29, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN Johor.

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat kemudian membenarkan rundingan dibahaskan pada pukul 4.00 petang dengan empat pembahas masing-masing dua daripada wakil kerajaan negeri dan dua daripada wakil pembangkang.

Kerajaan negeri diwakili Che Zakaria dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling Cheo Yee How manakala pembangkang diwakili Hasni dan ADUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali.

Sementara itu, ketika menjelaskan usul berkenaan, Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri mengambil beberapa tindakan bagi mengelak risiko kejadian berulang.

Menurutnya kerajaan negeri sudah mengarahkan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri (Pembangunan) dan Jabatan Alam Sekitar bersama-sama Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan dan Saintifik untuk merangka pelan jangka masa panjang menjadikan Pasir Gudang sebuah Bandar Perindustrian yang lestari.

Jawatankuasa itu juga perlu memantau keadaan di Pasir Gudang serta melaporkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri pada setiap bulan.

“Bersama-sama kita berdoa agar tragedi yang berlaku di Pasir Gudang ini tidak akan berulang,” katanya.

— BERNAMA