KUALA LUMPUR – MMIS Berhad (MMIS) yang bercadang untuk menyenaraikan sahamnya di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia Securities Berhad pada bulan Ogos ini mensasarkan untuk menjana hasil RM5 juta daripada terbitan saham baharu.

Syarikat ini terlibat dalam perkilangan, pemasaran dan jualan kelengkapan kejuruteraan dengan menjual produk-produknya kepada pengeluar peralatan semikondutor dan juga pengeluar peralatan ujian automatik untuk industri.

MMIS bercadang untuk menerbitkan sehingga 50 juta saham baharu sempena cadangan penyenaraian, mewakili kira-kira 10 peratus daripada terbitan modal saham diperbesarkan, pada harga indikatif sebanyak 10 sen sesaham untuk memenuhi kepuasan pelabur.

Daripada dana yang diperoleh, MMIS bercadang untuk menggunakan RM2 juta untuk pengembangan modal dan RM2 juta untuk modal kerja manakala baki RM1 juta akan digunakan untuk membayar perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Di bawah Senario Minimum, dengan anggapan sebanyak 20 juta saham baharu diterbitkan, sebanyak RM2 juta yang akan dijana bakal digunakan untuk membiayai pengembangan modal bernilai RM1.1 juta dan untuk membayar perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd telah dilantik sebagai Penasihat Diluluskan, Penjaga dan Penempatan Ejen oleh MMIS Berhad bagi cadangan penyenaraian.

Pengarah Urusan MMIS, Loh Chin Soon berkata, tujuan penyenaraian tersebut membolehkan syarikat menembusi pasaran modal bagi menjana dana pada masa depan, selain merebut peluang pertumbuhan akan datang, mendapat pengiktirafan dan mengukuhkan kedudukan syarikat, meningkatkan kesedaran pasaran berhubung perkhidmatan syarikat serta meluaskan asas pelanggannya.

“Kejayaan kami dalam memperoleh dan mengekalkan pelanggan multi nasional dalam industri semikonduktor global membuktikan kualiti produk kami, perkhidmatan pelanggan dan rekod latar belakang syarikat yang baik.

“Kami percaya bahawa melalui pengukuhan reputasi, pengalaman industri dan kecekapan, akan membolehkan kami mengekalkan daya saing dan berpeluang untuk menguasai perniagaan daripada pertumbuhan dan pembangunan industri semikonduktor pada masa depan,” katanya.

Kapasti pengeluaran sedia ada adalah pada kadar purata penggunaan kira-kira 73 peratus manakala ruang lantai pengeluaran telah digunakan sepenuhnya.

Cadangan untuk membangunkan kilang baharu dengan jangkaan keluasan 27,000 kaki persegi dijangkakan siap menjelang pertengahan tahun 2020.

Malah, katanya, cadangan menggabungkan kedua-dua kilang tersebut akan meningkatkan kawasan pembinaan seluas 7,200 kaki persegi dan jumlah ruang pengeluaran semasa bertambah daripada 32,400 kaki persegi kepada 66,600 kaki persegi, menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Peralatan kejuruteraan boleh digunakan untuk pelbagai jenis industri seperti semikonduktor, pembungkusan elektronik, minyak dan janakuasa, perubatan, kejuruteraan dan juga industri automotif.

Industri peralatan kejuruteraan di Malaysia telah menunjukkan peningkatan RM4.0 bilion pada tahun 2010 kepada RM7.1 bilion pada tahun 2018 dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) pada 7.4 peratus.

Menurut beliau, pertumbuhan industri kejuruteraan di Malaysia akan disokong daripada permintaan peralatan kejuruteraan oleh pelanggan seperti sektor perkilangan dan pengeluaran produk elektronik untuk pasaran global.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 MMIS mencatat pendapatan RM17.02 juta, kenaikan 82 peratus daripada RM9.34 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya manakala keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan tahun lalu ialah RM5.27 juta, 207 peratus lebih tinggi berbanding RM1.71 juta yang dicatat pada tahun kewangan sebelum ini. – MalaysiaGazette