KUALA LUMPUR – Pada tahun 2018, affiliate (sekutu) asing menyumbang 17.4 peratus kepada ekonomi Malaysia dengan nilai ditambah sebanyak RM252.5 bilion, dijana oleh 2,982 affiliate asing di Malaysia.

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan sumbangan 45.3 peratus daripada jumlah nilai ditambah, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 28.1 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, affiliate asing mengupah 858,172 orang dengan jumlah pampasan pekerja berjumlah RM48.4 bilion.

Bilangan pekerja tertinggi yang terlibat dalam sektor pembuatan seramai 649,700 orang dengan nilai pampasan pekerja sebanyak RM33.1 bilion pada tahun 2018.

Manakala sektor perkhidmatan seramai 164,188 orang pekerja dibayar RM11.1 bilion pampasan pekerja merupakan penyumbang kedua terbesar.

Eksport affiliate asing pula merekodkan RM306.2 bilion di mana menyumbang 30.8 peratus kepada jumlah eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia pada tahun 2018.

Sementara itu, import mencatatkan RM272.3 bilion dengan nilai sumbangan 30.5 peratus daripada jumlah import barangan dan perkhidmatan Malaysia. Kedua-dua eksport dan import terutamanya dari sektor pembuatan. – MalaysiaGazette