Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak menolak kemungkinan skim subsidi bersasar bagi bahan api RON95 akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini pihaknya dalam proses untuk memuktamadkan pelaksanaan kaedah itu yang kemudian akan dibentang kepada Kabinet untuk mendapat persetujuan.

“Kami dalam fasa terakhir memo jemaah menteri untuk pelaksanaan tanggungjawab yang telah diberi oleh kerajaan kepada kementerian iaitu subsidi bersasar RON95.

“Kami sedang menyediakan memo jemaah menteri antara KPDNHEP dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan akan mengambil masa satu hingga dua minggu lagi sebab kami harus dapat komen daripada kementerian yang terbabit.

“Sekiranya (jemaah Menteri) berikan lampu hijau, dipersetujui maka kita berhasrat untuk melaksanakannya pada tahun ini juga. Tunggu pengumuman dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mempunyai mekanisme tersendiri bagi memastikan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter dinikmati golongan B40 atau pengguna yang berpendapatan rendah.

Menurut Saifuddin Nasution, subsidi minyak itu hanya diberi kepada mereka yang layak dan golongan sasar saja dan tidak semua rakyat atau pemilik kenderaan layak menerima subsidi terbabit.

Katanya, walaupun dalam Belanjawan 2019 dinyatakan bahawa pelaksanaan subsidi minyak bersasar itu akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini, namun pihak memerlukan masa tambahan bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan cermat dan menetapi sasarannya.

“Kami perlu mengenal pasti data penerima subsidi yang akan dipakai, mesti ada duit, jadi kami kena kira setiap bulan berapa MOF bayar.

“Pengiraan kami mesti mengambil kira implikasi kos (kewangan) dan strategi komunikasi di mana cara kami minta media bantu hebahkan perkara ini sehingga rakyat boleh terima bahawa kerajaan laksanakan ini adalah untuk rakyat.

“Sebab itu ia ambil sikit masa,” katanya. – MalaysiaGazette