Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab beberapa pihak yang telah mengambil kesempatan mengubah kenyataan Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan YADIM menegaskan, semasa sidang media pada 27 Jun lalu, Nik Omar telah menyebut secara umum berhubung perlakuan melabel gelaran kepada sesetengah pihak yang disifatkannya sebagai kelakuan Abu Jahal dan Abu Lahab.

Ucapannya itu adalah secara umum tanpa menyentuh mana-mana pihak secara spesifik, kata kenyataan itu.

“Lebih tepat lagi beliau menyebut “Menghukum ini sebenarnya bukan budaya Islam.

“Menghukum, melabel ini adalah budaya Abu Jahal dan Abu Lahab, Wallahualam”.

“Kenyataan beliau ini pada hakikatnya bersandarkan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran Surah Al-Hujurat Ayat ke 11 yang bermaksud “janganlah menggelarkan dengan gelaran-gelaran (yang buruk),” kata kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat YADIM itu.

Malangnya menurut YADIM, beberapa pihak telah mengubah kenyataan tersebut dan menjadikannya seolah-olah ditujukan terus kepada pihak-pihak tertentu.

“Ingin dijelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat menasihati supaya mengelakkan bersikap demikian (kelakuan melabel individu) sesuai dengan peranan YADIM sebagai sebuah organisasi dakwah.

“YADIM menyeru supaya perbuatan mengubah dan menyebar kenyataan ini dihentikan kerana implikasi buruknya, terutama kerana ia mengundang perpecahan kepada masyarakat.

Sebagaimana sikap menghukum dan melabel yang amat ditegah, pemanipulasian kenyataan juga adalah satu dosa besar yang harus dihindari,” ujar YADIM. – MalaysiaGazette