KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata dia belum digantung daripada hadir ke Dewan Rakyat selama empat hari seperti yang diperintahkan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming hari ini.
Ahli Parlimen BN Pasir Salak itu berkata, perintah mesyuarat perkara 44 (2) Dewan Rakyat oleh Nga Kor Ming masih belum muktamad.
Katanya, Kor Ming hanya cuba menggantung beliau daripada hadir ke Dewan Rakyat selama empat hari tetapi ia tidak dapat dilaksanakan.
“Saya minta dia beri peluang tanya soalan tambahan untuk soalan keenam dia tak benarkan. Sudah tentu saya marah, dia nak gantung, gantunglah. Gantung sampai mati saya tak kisah..
“Saya bebas bila nak masuk (Dewan), mungkin ada ‘second though’. Nak gantung satu, dua, empat, sepuluh hari, tidak ada gantung, tak diputuskan.
“Dia cuba tapi keputusan itu tak dikuatkuasakan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Terdahului, Kor Ming mengarahkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman keluar dewan semasa sesi pertanyaan lisan sedang berlangsung.
Kekecohan tercetus ketika Tajuddin hendak mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin.
Tajuddin yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenapa Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub tidak menjawab soalan keenam dan melarikan diri tetapi timbalannya pula mengambil tanggungjawab itu.
Taijuddin yang menyiofatkan Kor Ming sebagai anti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berkata, beliau menjadi mangsa dan bukannya Timbalan Speaker itu.
“Dia kata saya salahlaku, saya buat kenyataan menentang menteri dan adakah saya tak senonoh?
“Dia sengaja cari pasal dengan saya. Saya tak berminat, saya minta beri peluang tanya soalan tambahan, dia tak benarkan dan tentulah saya marah,” ujarnya.
Malah katanya, isu sebenarnya adalah beliau mahu mengemukakan soalan kepada Dewan Rakyat bagi pihak rakyat yang diwakili di kawasan Pasir Salak.
“Sama ada berkelakuan tidak senonoh atau tidak. Pada mata dia (Kor Ming), ya. Pada mata rakyat tidak, saya hanya mahu tanya adakah kerajaan sedar pendapatan petani yang ditingkatkan dengan peruntukan kementerian begitu kecil,” ujar beliau.
Kata Taijuddin, sebelum meneruskan sesi, beliau mahu bertanya soalan sebelum Kor Ming marah kepadanya.
“Saya kata saya nak tanya soalan disebabkan itu dia hentikan saya tanya soalan dan terus langkau kepada soalan nombor tujuh dan ketika itu saya belum habis bercakap.
“Sebelum tanya soalan, saya persoalkan mana menterinya dan kenapa menteri keluar, tak mahu menjawab.
“Saya tanya sebagai wakil petani dan tugas menteri untuk menjawab kepada rakyat,” jelasnya.
Ditanya kenapa beliau menggunakan perkataan komunis di dalam dewan, Tajuddin berkata, para wakil rakyat DAP sengaja mahu memprovokasi beliau.
“Adakah itu (provokasi DAP) kelakuan baik? Kamu bila DAP semua bagus, kalau BN tak bagus. Kenapa Speaker tak tegur kelakuan mereka (DAP)? Kenapa Nga Kor Ming tak nasihatkan dia?
“Bila dia duduk kerusi Speaker dia sentiasa melindungai ahli Parlimen DAP, dia pro DAP. Kami tahu dia lindungi Lim Guan Eng dan Tony Pua. Nak jadi Speaker kenalah neutral,” katanya. – MalaysiaGazette