NGO Belia Wangsa Maju
Jurucakap NGO Belia Wangsa Maju, Mohd Ali Shariff menunjukkan laporan polis mengenai video seks di luar tabii di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebuah Pertubuhan Belia Wangsa Maju hari ini mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuang menteri yang mempunyai masalah akhlak serta mengamalkan gaya hidup songsang termasuk semburit.

Jurucakapnya, Mohd Ali Shariff menegaskan, sekiranya pemimpin sebegitu dibiarkan kekal sebagai jemaah menteri, ia dikhuatiri akan jadi ikutan rakyat dan menyuburkan golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT).

“Kita nak pihak polis siasat perkara ini kerana kita tak mahu pemimpin kita rosak akhlaknya.

“Perkara ini jadi lebih parah kalau tidak diambil tindakan sewajarnya kerana isu LGBT semakin kritikal sekarang,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju hari ini.

Baru-baru ini tular satu lagi video seks luar tabii dipercayai milik Haziq dan lelaki yang didakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.

Kali ini video berkenaan dipaparkan terus ke dalam YouTube dan dapat ditonton secara umum serta lima pautan lain melibatkan satu website lucah antarabangsa.

Pada 12 Jun lalu, Haziq tampil mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video seks luar tabii yang tular serta mendakwa individu bersamanya adalah Mohamed Azmin.

Mohd Ali juga mendakwa, skandal seks luar tabii didakwa melibatkan seorang menteri itu hanya akan menjejaskan usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan negara.

“Saya minta polis siasat perkara ini supaya Mohamed Azmin ini diambil tindakan yang sewajarnya sebab kita tak nak pemimpin yang ada kes semburit ini.

“Beliau juga menyusahkan kepimpinan  Mahathir yang sedang bina negara kita untuk jadi lebih maju. Bila ada pemimpin bermasalah moral seperti ini, ia akan mengganggu kepimpinan  Mahathir,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Mohamed Azmin didapati bersalah, Mahathir perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggugurkannya daripada senarai jemaah menteri.

“Kita minta pihak polis dan pihak berwajib siasat perkara ini, kalau beliau didapati bersalah, saya minta Dr Mahathir berhentikan beliau daripada jadi salah seorang daripada menteri kabinet kita.

“Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu pun menafikan kes sumbang itu tapi akhirnya didapati bersalah oleh mahkamah. Pasangan semburit dalam video kali ini sudah mengaku, kita minta pihak polis siasat perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette